Saturday, 19 October 2013

LEMAK DALAM BADAN





Lemak memberikan badan tenaga untuk berfungsi dengan baik, diperlukan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan rambut; membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K (dipanggil vitamin larut lemak).

Lemak akan memenuhi sel-sel lemak di bawah kulit bagi membantu memanaskan badan. Selain itu lemak berperanan penting untuk perkembangan otak, mengawal keradangan dan pembekuan darah. 

Tidak kira jenis minyak yang dipilih, semuanya adalah lemak. Lemak boleh dibahagikan kepada dua iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Klasifikasi ini dilakukan berdasarkan jumlah kandungan asid lemak tepu dan tidak tepu. Semua minyak, tidak kira semahal mana pun ia, tetap mengandungi lemak tepu tetapi dalam jumlah berbeza. 

Lemak tepu: Ia adalah lemak yang diperoleh daripada haiwan dan ia beku pada suhu bilik; contohnya mentega, keju, minyak sapi dan lemak pada daging. 

Bagaimanapun sesetengah lemak daripada tumbuh- tumbuhan juga dikelaskan sebagai lemak tepu seperti minyak kelapa, santan kelapa dan isi rong kelapa sawit. Minyak sawit juga dikategorikan sebagai minyak tepu kerana kandungan lemak tepu dan tidak tepu adalah sama. Kesannya, ia akan meninggikan paras kolesterol buruk dan tahap kolesterol keseluruhan jika diambil berlebihan. 


Lemak tidak tepu: Lemak jenis boleh diperoleh daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lemak poli tak tepu, lemak moto tak tepu dan asid lemak trans. Pada suhu bilik, ia berada dalam keadaan cecair.


·  Lemak poli tak tepu - Sumber lemak jenis ini ialah bijian, kekacang dan ikan laut dalam. Contohnya minyak bunga matahari, jagung, soya, safflower, bijan, biji benih flaks dan kacang.

Ikan laut dalam pula seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout membekalkan asid lemak perlu Omega-3 manakala minyak jagung, soya dan safflower pula mengandungi asid lemak perlu Omega-6.

Asid lemak perlu ialah lemak yang tidak boleh dihasilkan oleh badan.


Minyak dan kolesterol

Menurut Ho, semua lemak atau minyak yang dihasilkan daripada sumber tumbuh-tumbuhan tidak mengandungi kolesterol.

Kolesterol hanya ada dalam lemak yang berasaskan sumber haiwan. Maknanya makanan dari sumber haiwan yang dimasak sama ada menggunakan sedikit atau banyak minyak mengandungi kolesterol.

Kolesterol ialah bahan lembut dan berminyak yang boleh berkumpul dan melekat pada dinding salur darah. Pengumpulan kolesterol ini lama kelamaan membuatkan salur darah tersumbat yang boleh menyebabkan serangan jantung atau otak.

Tahukah anda, kebanyakan kolesterol dalam badan sebenarnya dihasilkan oleh hati daripada lemak tepu? Hanya tiga peratus kolesterol dalam darah datang terus daripada makanan. Hati adalah organ yang bertanggungjawab menghasilkan kolesterol baik dan buruk.

Jika begitu, bagaimana boleh timbul masalah kolesterol tinggi dalam darah? Apabila kita makan makanan mengandungi lemak tepu, hati akan memprosesnya dan menghasilkan kolesterol.

Lebih banyak kandungan lemak tepu, hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol untuk dilepaskan ke dalam darah.

Jadi walaupun makanan kita umumnya tidak mengandungi kolesterol, misalnya pisang goreng, ia dimasak menggunakan lemak tepu. Apabila banyak lemak tepu masuk ke dalam badan, banyaklah juga kolesterol yang akan dihasilkan hati.

Kolesterol mempunyai peranannya tersendiri; ia menjadi komponen pada dinding sel dan penting untuk otak dan saraf berfungsi dengan baik. Ia juga membantu penghasilan hormon yang diperlukan untuk pertumbuhan dan peranakan.

Ia menjadi pelopor untuk hormon estrogen, progesteron dan testosteron.

Malah banyak hormon lain turut bergantung kepada kolesterol untuk berfungsi, namun terlalu banyak kolesterol jahat boleh memudaratkan kesihatan.

Selain makanan, peningkatan kolesterol buruk juga disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik, kurang bersenam, tekanan, umur, pengambilan terlalu banyak alkohol dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimana pula dengan orang yang mengamalkan minum minyak tidak tepu untuk menjaga kesihatan? Menurut Ho, ia mungkin memberi manfaat tertentu tetapi perlu diingat, ia adalah lemak yang mengandungi banyak kalori dan jika melebihi keperluan kalori harian, ia akan menyebabkan masalah pertambahan berat badan.



Panduan mengurangkan penggunaan dan pengambilan lemak 


·  Gunakan kuantiti kecil dalam penyediaan makanan.


·  Guna kuali tidak melekat untuk memasak bagi mengurangkan minyak. Menggoreng ikan di kuali leper akan menggunakan kurang minyak berbanding kuali melengkung.


·  Hadkan makanan bergoreng kepada dua kali seminggu.


·  Gunakan tuala kertas untuk melapik pinggan, ia akan menyerap lebihan minyak daripada makanan


·  Pilih kaedah memasak yang lebih sihat seperti kukus, rebus, celur atau bakar.


·  Gantikan santan kelapa dengan susu atau dadih rendah lemak.


·  Buang lapisan minyak yang timbul apabila makanan sudah sejuk dan panaskan semula sebelum dihidang.


·  Buang lemak pada daging dan ayam (terutama kulit ayam).


·  Hadkan pengambilan marjerin, mentega, mentega kacang, makanan mengandungi banyak lemak dan snek.


·  Apabila anda membeli produk makanan, lihat senarai bahan-bahannya. Hadkan membeli produk mengandungi pepejal susu atau lemak seperti biskut, kerepek, aneka kek dan pastri serta makanan bergoreng yang mungkin tinggi kandungan asid lemak trans.


·  Baca label makanan dan pilih produk mengandungi paling rendah jumlah lemak keseluruhan, lemak tepu dan asid lemak trans.


No comments:

Post a Comment